Wakaf

Pengenalan

Wakaf membawa maksud menahan harta yang boleh diambil darinya manfaat beserta mengekalkan ‘ain harta tersebut. Ianya menghilangkan pemilikan dan pengurusan harta tersebut dari pewakaf dan harta tersebut akan digunakan pada jalan yang dibenarkan ataupun keuntungan darinya (harta wakaf tersebut) digunakan untuk jalan kebaikan.

Kelayakan

  1. Pendaftaran dan kempen ini terbuka kepada semua pemegang amanah tunggal berada di Malaysia yang berdaftar menerusi akta/enakmen perundangan Islam di negeri-negeri.
  2. Penganjur perlu melakukan transaksi Wakaf secara atas talian menggunakan perbankan.

Kriteria (Penganjur & Pewakaf)

  1. Wakaf yang boleh dilakukan melalui platform sumbangan.com hanyalah wakaf tunai.
  2. Jumlah minima berwakaf sebanyak RM10 setiap kempen, maksima RM10,000 setiap transaksi.
  3. Setiap pewakaf akan mendapat resit secara atas talian melalui emel yang didaftarkan.

Produk Wakaf

Wakaf Tunai

Wakaf yang terkumpul melalui kempen yang diwujudkan bagi tujuan projek-projek wakaf yang dicadang oleh penganjur berdaftar.

Wakaf Tapak

Pembelian tapak atau hartanah. Mutawalli akan membeli keseluruhan hartanah menggunakan wakaf tapak yang telah disumbangkan oleh orang ramai. Lazimnya apabila projek pembangunan itu telah berjaya dibeli, skim ini akan dihentikan.

Wakaf Pendidikan

Infaq dan sumbangan menggunakan tunai yang dikumpul di dalam satu kempen (tabung amanah) untuk tujuan pembiayaan aktiviti pendidikan.

Wakaf Kesihatan/Perubatan

Wakaf kesihatan adalah projek wakaf tunai yang diwujudkan oleh badan-badan/penganjur yang berdaftar.

Kategori Produk Wakaf Dalam sumbangan.com

Wakaf Am

Wakaf yang diwujudkan oleh penganjur wakaf bagi tujuan manfaat umum mengikut hukum syarak seperti untuk kemudahan atau pembangunan ekonomi umat Islam menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan dengan berasaskan hukum syarak.

Wakaf Khas

Wakaf yang diwujudkan oleh penganjur wakaf bagi tujuan manfaat tertentu umat Islam mengikut hukum syarak seperti mewakafkan tanah untuk tujuan masjid, surau, sekolah agama, perkuburan Islam dan lain-lain yang dikhususkan oleh pewakaf.

Wakaf Masjid

Wakaf yang diwujudkan oleh penganjur yang terdiri daripada masjid-masjid berdaftar bagi tujuan manfaat umum mengikut hukum syarak seperti untuk pembangunan, pembinaan, baikpulih dan pelbagai aktiviti yang dijalankan dengan berasaskan hukum syarak.

Wakaf Bencana

Wakaf yang diwujudkan oleh penganjur bagi tujuan manfaat umum mengikut hukum syarak seperti tabung banjir, gempa bumi, tsunami dan seangkatan dengannya aktiviti yang dijalankan.

Pengagihan

  1. Dana sumbangan wakaf terkumpul melalui kempen yang dilaksanakan, tidak akan dikenakan caj pengurusan platform dan 100% akan diserahkan kepada pihak penganjur.
  2. Pihak sumbangan akan membuat pembayaran/pemindahan kepada pihak penganjur pada setiap hari Khamis untuk jumlah sumbangan terkumpul secara mingguan.

Pembayaran caj pengurusan platform menerusi wakaf : Para pewakaf yang membuat wakaf melalui platform sumbangan.com, mereka akan dikenakan caj pengurusan semasa ingin membuat pembayaran di peringkat akhir sebanyak RM1.00.

Contoh : Jika pewakaf membuat pembayaran sebanyak RM10/RM100, pada proses akhir pembayaran pewakaf akan membayar sebanyak RM11.00/RM101.00 untuk setiap transaksi.